Tanah kecil yang terakhir

Assalam.

2016 ni macam sukar pula nak menulis rasanya. Kalau dulu saya gembira, saya menulis. Saya sedih pun menulis juga. Tapi sejak saya pergi majlis pengebumian adik kawan saya, semua perkataan seperti sudah hilang. Ceritanya ada tetapi saya tak dapat menulisnya. Perkara ni memang tak bagus juga. Nak atau tak, saya kena mengatasinya. Saya pernah baca di mana saya tak ingat, untuk menjadi penulis yang baik, kita mesti menulis di hari-hari yang kita tidak mampu untuk menulis lagi. Hari-hari yang kita cuma mampu baca sahaja tulisan lama kita.

Sebenarnya saya rapat dengan kakak arwah Kapten Hasman Hussin sahaja. Namanya Iza. Tapi dah lama juga tak jumpa dekat 18 tahun. Lepas SPM kawan saya ni terus masuk ke Uni Petronas. Bila dah masuk u masing-masing pun bawa haluan sendiri. Saya selalu ingat dia sebab saya kenal dia dari usia 5 tahun. Terpisah bila Form 3 jumpa semula. Dulu kawan gembira ajelah. Tak pernah pulak sedih-sedih. Adik-adik dia saya kenal. Naik basikal kat kampung tu. Dia pun selalu cerita pasal adik-beradik dia.

Bila adik dia meninggal ni kita contact semula. Saya memang teringin nak pergi melawat. Dia pula kata tak perlu sebab anak-anak saya dah mula sekolah. Sepanjang dia tunggu adik dia balik dari luar negara tu memang sedih juga bila dia berkongsi rasa. Sampailah confirm jenazah tiba hari apa dan pukul berapa dia inform saya. Cuma dia kata tak perlulah datang sebab dia faham semua orang sibuk. Sekolah dah mula.

Saya pula serba-salah. Nak pergi tapi adakah saya akan menyusahkan dia. Saya ni bukannya tabah sangat. Karang takut dia sibuk ke, atau dia tak nak menangis ke, jumpa pulak saya ni ratu air mata. Lagipun saya ni dah lama juga tak jumpa dia, kenalkah dia pada saya? Tapi saya cuma mampu doa kalaulah memang saya perlu berada di sana, Ya Allah mudahkanlah perjalanan saya. Saya memang tiada sebab untuk balik, cuma saya rasa saya perlu ada di situ. Itu kampung saya, dia kawan baik saya, adik dia junior sekolah saya. Ada sesuatu yang menggamit saya pulang.

Saya sampai 6.15 petang jenazah dah dikebumikan. Orang memang ramai jadi kena menyelit untuk sampai ke barisan depan. Saya cari kawan saya dan akhirnya nampak dia. Wajah dia seperti seorang yang sedang menahan empangan air mata. Saya lihat dia menoleh ke kiri dan ke kanan macam nak cari tempat berpaut. Macam kita ada emak, kakak ke kan, kawan saya ni dialah macam emak, dialah kakak. Saya tahu dia sedih sangat masa tu cuma dia tahan aje. Kemudian saya nampak abang dan adik-adik perempuan dia yang dulu saya kenal masih kecil. Masa ni air mata saya dah tak boleh nak tahan lagi. Saat paling sedih bila Komander merangkap imam tu baca:

“Selamat tinggal Hasman bin Hussin.

Semoga kita berjumpa lagi…”

Saya lihat Iza ni terus tunduk menangis. Itu adalah visual yang sangat menghibakan yang saya masih ingat sehingga sekarang. Iza ni adalah kawan baik saya sejak kecil, melihat dia bersedih macam tu memang meremukkan hati juga. Selepas tu ada upacara menyiram air di pusara. Saya ada snap gambar dia dan adik-adik tapi tak sampai hati pula nak forward pada dia.

Ada lebih kurang seribu orang yang hadir. Semuanya nak bertemu dengan isteri dan ahli keluarga arwah. Saya menyelit untuk jumpa Iza ni. Akhirnya dapat juga. Saya pegang bahu dia dari belakang, dia toleh dan saya cakap, “Iza ni Diana”. Dia tengok dan terus peluk saya. Lepas tu dia menangis tersengguk-sengguk di bahu saya. Kami masing-masing berpelukan dan menangis di bahu masing-masing. Menangis hingga tak keluar suara. Saya lihat muka dia dan dia peluk semula. Dia cakap “Diana cepat sangat dia pergi…”. Saya tak tahu nak kata apa. Kami sama-sama menangis.

Saya memang lama tak jumpa dia. Tapi saya tak bajet berjumpa dia dalam suasana begini. Saya lihat adik-adik dia yang panggil saya Kakak Putih Pekat, lihat isteri dan anak arwah. Saya tahu dia redha cuma sangat risaukan isteri dan anak-anak arwah. Saya tahu dia akan bertabah, sama seperti waktu mak dia meninggal 20 tahun yang lepas. Saya memang takkan faham apa yang dia rasa sebab saya tak pernah hilang mak atau adik. Tak pernah rasa susah besarkan adik-adik. Saya pun tak tahu kenapa saya sedih sangat. Mungkin kerana saya kenal dia paling lama dalam sejarah bestfriends saya iaitu selama 31 tahun. Untuk mereka yang ada bestfriend, bestfriend adalah seperti adik-beradik kita sendiri. Kesusahan, kepedihan dia kita rasai. Cerita dia, kita tahu.

Lepas selesai jumpa dia saya minta diri. Singgah kejap kubur Atuk. Antara sebab utama saya nak datang pengebumian ni untuk jumpa atuk juga. Kadang-kadang rasa bersalah juga kata sayang atuk jenguk “rumah” atuk pun jarang. Waktu drive balik lepas Maghrib saya termenung panjang sampai lampu kereta pun lupa nak buka. Lepas tu baru tersedar.

2016 saya dibuka dengan pengalaman begini. Bahawa dunia ini hanya pinjaman semata-mata. Tanah kecil terakhir kita itu akan memisahkan kita dengan segala-galanya. Meruntuhkan segala ego, marah, memisahkan rasa sayang. Bila berada di situ kita tak kesah apa pandangan orang terhadap kita. Comot, cantik ke kita? Kita cuma ingat sudah bersediakah kita untuk berada di situ?

Saya doakan Iza sekeluarga diberikan ketabahan melalui semua ini. Kawan saya Laila pun kehilangan kakak dia. Kita tak akan tahu kecuali kita pernah merasakan kehilangan seperti ini. Al Fatihah untuk semua orang yang kita kasihi yang telah pergi meninggalkan kita.

Hidup ini pun hanya sementara kan? Kita selalu lupa.

P_20160106_183510_20160112215449845

Terima kasih membaca.

Memori saya dengan Iza boleh baca di sini.

2 thoughts on “Tanah kecil yang terakhir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge