Surat untuk Kapten Hasman

Salam.

Saya terasa-rasa nak menulis tapi tak tahu nak tulis apa.

Tiba-tiba masuk satu mesej di Whatsapp dari kawan baik masa sekolah yang 18 tahun tak jumpa.

Minta sedekahkan Al Fatihah untuk arwah adik dia yang baru dijumpai di US.

Rupa-rupanya tragedi banjir ini.

Mata saya berpasir tiba-tiba sebab terkenangkan ini….

Mak saya dan mak arwah ni dulu kawan sekampung.

Saya dan kakak arwah sebaya. Waktu tadika, zaman penuh gembira saya dengan Atuk tu, dia tadika dengan saya. Kemudian dia sekeluarga pindah. Saya sentiasa beritahu orang, saya ada seorang kawan baik waktu tadika, tak ingat nama dia. Kulit hitam manis, rambutnya ikal mayang. Sehinggalah Form 3 saya selalu tercari-cari kawan saya ni.

Bila Form 3 ada budak baru masuk kelas saya. Dengar kata dari PD. Saya yang kononnya lorat bajet nak interview budak baru. Jangan nak kerek sangat masuk tempat orang kaedahnya. Tanya-tanya, dia orang kampung saya, rupa-rupanya dialah kawan baik saya masa tadika, orang yang saya ingat kelibat dia melambai saya buat kali terakhir dulu.

Rupa-rupanya Mak kawan saya Eiyza ni baru meninggal, jadi dia pindah tinggal di kampung dengan nenek. Seperti biasa, dia jadi BFF saya semula, kami siap ada group lagi namanya rahsia. Kalau anda baca blog ni lama sikit mungkin pernah jumpa nama Mongun. Mongun, saya, Eiyza satu geng. Kami sama-sama benci Chin Peng (watak hitam).

Saya lihat Eiyza ni menjaga adik-beradik dia seingat saya 5 orang seperti seorang ibu. Balik kelas tambahan kami teman dia pergi pasar atau kedai runcit beli barang dapur. Beli kangkung, cili boh. Bayangkan Form 3 kita tahu main aje kan, tapi kakak arwah menjaga adik-beradik dia. Walaupun susah macamana pun, tak pernah pula dia beritahu takde duit ke. Dia happy aje huru-hara macam saya gila KRU, cuma dia ada tanggungjawab yang menunggu di rumah.

Kalau saya pergi raya rumah dia, adik-adik dia panggil saya Kakak Putih Pekat. Katanya kulit saya putih sangat masa tu. Dulu sekolah rendah hitam asyik berjemur naik basikal agaknya. Dah sekolah menengah pemalu pulak. Tapi bila dah masuk uni, adik-adik dia ada komplen kata Kak Diana tu dah tak putih pekat lagi. Putih cair agaknya. Suka hati kaulah dik! Asalkan kau gembira.

Terima berita adik dia meninggal ni buat saya sedih juga. Arwah kehilangan ibu dia sewaktu dia berumur 10-11 tahun, sebaya anak saya. Saya tahu betapa susahnya mereka melalui zaman itu, tetapi gembira dengan kasih-sayang kakak, abang dan ahli keluarga yang lain. Rumah mereka di kampung seberang sawah aje dengan rumah Atuk saya. Tidak kira betapa kecilnya rumah kampung kami, saya percaya rumah kampung sentiasa lebat dengan kasih-sayang orang-orang di dalamnya.

Kapten Hasman Hussin, semoga tenang di sana. Semoga dipermudahkan perjalanan pulang ke Malaysia dan ke kampung kita- Kampung Durian Daun, Masjid Tanah, Melaka. Kata orang, sejauh mana pun kita pergi, kita tetap menghala pulang ke tempat asal kita.

Awak dibesarkan dengan sangat baik, kesemua adik-beradik menjadi tenaga profesional yang menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.

Selamat bersemadi bersama arwah ibu, dan juga berdekatan dengan kubur Atuk saya. Tanah perkuburan di Kampung Durian Daun ini sentiasa ada tempat yang istimewa di hati saya.

Kita jumpa nanti Sabtu ini insya Allah.

Pembaca blog saya hadiahkanlah Al Fatihah untuk Kapten Hasman Hussin yang sangat saya kasihi ini.

Saya doakan keluarga arwah diberikan ketabahan untuk melalui semua ini. Amin

-Kakak Putih Pekat-

3 thoughts on “Surat untuk Kapten Hasman

  1. Arwah clasmate saya sekolah rendah. Saya baru perasan mlm ni, walaupun berpuluh kali berita ni lalu. Tak sangoa arwah berjaya. Betul kak. Masa sekolah rendah,arwah susah. Perkara yg paling kami satu kelas x boleh lupa, cikgu masukan kepala arwah dlm tong sampah. Sedihnya. Bertapa dia dipandang hina. Alhamdulillah berjaya juga arwah. Semoga anak2 arwah berjaya dunia akhirat. In shaa allah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge