Rojak dan Laut

Hari Ahad balik kampung. Anak-anak teringin mandi laut. Rumah Mak memang di kampung tepi laut, cuma kena berjalan kaki juga kalau hendak sampai ke laut.

Hari ni juga selesai set up Candy Buffet terakhir tahun 2014. Letih tapi suka. Suka tapi letih. Macam tu lah 🙂 .

Balik kampung memang jadi anak Mak macam dulu-dulu. Makan tak henti-henti. Diet semua ke laut. Lepas tu hujan lebat pula, ermmm memang best tidur di katil di kampung.

Anak-anak pula seraya berzikir di tepi telinga, nak mandi laut, nak mandi laut.

Lepas Asar bergerak kita ke pantai Padang Kemunting, Pengkalan Balak. Ramai betul orang. Sambil lalu di lorong sempit, mata gigih lihat gerai pisang goreng tepi jalan. Tiba-tiba nampak rojak buah hmmm… tapi parking penuh pula di situ.

Lepas parking, anak-anak dah terjun, Papa jadi safeguard, saya jalan menelusuri tepi pantai, dengan seluar baggy dan t shirt BUM equipment zaman UKM dulu (memang tinggalkan di kampung). Jalan jauh-jauh pergi carik ni:

rojak buah dan air kelapa

Ya gerai yang tadi. Rojak buah dan air kelapa 😉 .

Lepas tu jalan balik tengok anak-anak gembira dengan Papa, terus cari port untuk bersantap.

Tengok kiri ada satu couple sedang selfie. Sekejap berdua, sekejap yang lelaki buat merenung laut, yang pasangan ambil gambar. Sekejap lagi tengok phone, tukar posisi. Suka hatilah kau dik. Asalkan kau jangan ajak akak selfie sudah.

Abis saya pun food selfie juga lah. Teringin jugak kan. Nak letak di fb segan. Sebab post gambar setahun sekali time raya aje. Indah betul makan rojak sorang-sorang tau. Sedap pula tu.

Tiba-tiba, “Akak, boleh tak tolong ke tepi sikit”.

Ada adik umur 12 tahun kot minta beralih sikit sebab diaorang nak main futsal. Rasanya ada hari keluarga sebab semua pakai t shirt purple. Macam takde tempat lain ye dik. Nasib kau panggil akak ni akak. Akak pun beralih beberapa meter lagi ke tepi. Couple tadi masih selfie sambil edit gambar. Yang lelaki dah buka spek, mungkin untuk effect yang lebih menarik.

….

Dulu, datang ke pantai Tanjung Bidara bersebelahan ni dengan Ayah dan Mak. Happy sangat kalau boleh piknik tu. Mak masak beria-ria dan kami berenang pun beria-beria. Biasa datang dengan sepupu-sepupu. Dulu, manalah ada percutian ke taman tema atau swimming pool hotel. Kalau mak sedara bawak baru ada. Itupun boleh dikira.

Sekarang, saya pula jadi Mama dan Papa. Bezanya piknik beli makanan di tepi laut. Dulu, berkelah dirancang berbulan-bulan lamanya. Sekarang, berkelah jadi satu acara biasa, bila-bila start kereta pun boleh pergi.

Dulu dan sekarang.

Saya rasa hidup ini seperti laut juga. Tak pernah menjanjikan apa-apa. Ia tetap ada di situ. Kalau kita ke situ, dapatlah kita menikmati panoramanya. Jauh kita tinggalkan ia, kadang-kadang kita kembali juga. Ada pasang surutnya. Ada yang berkelana jauh ke hujung sana, ada impian yang karam di tengahnya.

Lautan saujana mata memandang. Laut istimewa, tidak kira di pantai mana kita berdiri, airnya masih masin juga. Bayunya tidak pernah menghampakan.

Tetapi, tujuan hidup ini masih satu, bertemu dengan pemilik cahaya di ufuk timur sana.

laut

 

Selamat tinggal laut. Jumpa lagi 🙂 .

2 thoughts on “Rojak dan Laut

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge