Ahmad Ammar, The Time Traveller

Ahmad Ammar

 

Saya tak tahu dari mana dan bagaimana untuk saya mula menulis tentang buku Ahmad Ammar ini.

Perlu bersedih atau gembira?

Buku ini telah dua kali saya ambil dari rak buku di Popular Bookstore. Alhamdulillah kali kedua melihatnya saya membeli.

Saya mula membacanya sejak beberapa minggu yang lalu, dan airmata saya akan mengalir selang beberapa mukasurat membacanya.

Kadangkala ia airmata sedih, kadang-kadang bersyukur, selalunya menangisi kedaifan diri.

Terlalu banyak kata-kata di dalamnya yang meninggalkan bekas di hati, terlalu banyak lipatan di bucu mukasurat kegemaran saya.

Paling utama, ia ada panduan mendidik anak-anak ke jalan yang diredhai, dengan usaha dan tawakkal kepadaNya.

Ia memang buku pilihan saya, kerana ia kompilasi surat rindu dari mereka yang mengasihi Ahmad Ammar. Ibu, bapa, guru, teman rapat.

Barangkali saya terlewat mengetahui tentang beliau. Tapi better late then never kan!

Ahmad Ammar, ketika hayatnya hanya manusia biasa. Beliau pelajar cemerlang di Royal Military College yang hanya dikenali keluarganya. Anak kepada pengerusi ABIM dan ibunya pengasas sekolah Rohingya, Ahmad Ammar bukanlah calang-calang orangnya. Beliau meninggalkan masa depan yang cerah, dengan melanjutkan pelajaran ke Universiti Marmara, Turki yang tidak diiktiraf kerajaan Malaysia. Paling hebat, beliau berjaya menguasai Risalah An-Nur dan Bahasa Turki (moden dan lama) dalam masa yang singkat. Beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang Sejarah Turki (bahasa pengantar Turki), bagi mengkaji kegemilangan Tamadun Islam di bawah Empayar Uthmaniyyah yang telah dihapuskan sama sekali jejaknya. Hampir semua dokumen bertulis telah dihapuskan dan dunia telah dibrainwash tentang empayar ini.  Bapa beliau merupakan pengasas Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD) pernah berkata sekiranya mana-mana ahli meninggal dunia di negara mereka bermusafir, maka tanamlah mayat mereka di sana, tanda Islam telah mula berkelana semula ke seluruh dunia.

Takdirnya, Ahmad Ammar meninggal dunia di Turki. Apa yang istimewanya, beliau dikebumikan di kawasan perkuburan Eyyub Sultan (seperti Makam Pahlawan Masjid Negara) tempat bersemadinya Abu Ayub Al-Ansari bersama 60 orang sahabat Rasulullah SAW dan para pejuang tentera Uthmaniyyah. Beliau dikhutbahkan oleh pendakwah terkenal Turki, disolatkan bersama rakyat Turki dan menjadi mahsyur setelah kematiannya.

Cerita ibu ada gembira dan airmata, kisah ayah membentuk sedari kecil memberi pengajaran berguna. Cerita guru meninggalkan memori berharga untuk ibu bapanya. Cerita adik beradik mengimbas memori bersama. Tetapi kisah sahabat baik memang membuat kita ketawa dan menangis bersama sewaktu membacanya.

“Pada saat ramai orang mengenepikan kepentingan subjek Sejarah, dan dianggap sebagai pilihan terakhir bagi pelajar yang kurang cemerlang, Ammar telah memutuskan sebaliknya”.

Ahmad Ammar ingin orang Islam di seluruh dunia dan pelancong ke Turki mengetahui kehebatan dan keagungan Empayar Turki dan kisah perjuangan di sebaliknya.

“Dunia Biarlah Berpenat, Akhirat Tempat Aku Berehat”.

Ahmad Ammar, The Time Traveller ke Empayar Uthmaniyyah, semoga tenang di sana. Al Fatihah!

2 thoughts on “Ahmad Ammar, The Time Traveller

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge