Projek Memikat Suami Satu Dekad

Hai. Pemilihan tajuk hendak yang top sahaja. Rasanya Projek Memikat Suami ini satu siri di Astro kan? Saya tidak pernah menonton pun sebenarnya 😀 .

Usia perkahwinan saya tahun ini telah pun mencapai sedekad atau 10 tahun. Ditambah dengan tempoh perkenalan sejak tahun 2 di universiti, saya telah berkenalan selama 14 tahun sebenarnya. Bagaimana mengekalkan persefahaman selama itu? Tidak ada perkahwinan yang sempurna sebenarnya. Semua ada pasang surutnya. Tiba tempoh sedekad, anda berdua biasanya sudah mencapai satu tahap dalam undang-undang dipanggil consensus ad idem, atau dia faham anda, anda faham dia. Itu sahaja 🙂 .

Lama berkenalan, anda mengetahui baik dan buruknya seseorang itu. Kelemahan dan kelebihannya. Meskipun dikelilingi ‘askar-askar’, anda dan dia mestilah ada projek juga untuk memikat hati masing-masing. Kalau orang biasa berkata dengan masakan boleh mengikat suami, memang benar. Tetapi, ada cara lain juga dalam Projek Memikat Suami Satu Dekad ini 🙂 .

1. Jaga istananya

Masakan yang sedap memang mengikat. Tetapi, jagakan istana atau rumahnya juga dengan sesedap mata memandang. Tidak guna makan sedap tetapi rumah berselerak pula kan. Biar ruang pertama, biasanya ruang tamu, yang dilihat sewaktu masuk ke rumah bersih dan teratur. Di ruang yang lain, jika anak-anak ingin buat konsert atau kubu bantal pun tidak mengapa. Dia akan menerima hakikat itu. Jaga pandangan pertamanya.

Tetapi, janganlah ingat saya ini sempurna pula. Ada hari-harinya, saya sendiri tidak mampu melakukan semuanya. Cuma jadikan kebiasaan memastikan kediaman dalam keadaan sedap mata memandang. Kadang-kadang, ruangan yang berserabut membuatkan hati cepat panas juga. Jika bersepah, kemaskan apabila anda terdaya. Elakkan bertangguh. Guna konsep dekorasi minimalis jika anda terlalu sibuk.

projek memikat suami

 

2. Berikan dia “Me Time” juga

Sama seperti kita yang memerlukan masa sendiri untuk bersenam, berbelog 🙂 , berikan dia juga masa untuk pergi mengeteh dengan kawan-kawan. atau bermain sukan kegemarannya. Tidak perlu terlalu kepochi untuk ikut serta, atau menelefon selang sejam misalnya. Tempoh 10 tahun sudah cukup untuk anda saling percaya antara satu sama lain. Perlu juga untuk tahu keluar dengan siapa (ehem cemburu ke?) tetapi cuma ingat anda pun diberi kepercayaan penuh beberapa jam seminggu, kenapa tidak dia?

3. Buat perkara kecil yang disukainya

Orang lelaki ini kadang-kadang suka berkias-kias, berkipas-kipas untuk memberitahu sesuatu. Contohnya, dia mungkin menggemari anda memakai shawl berbanding tudung bawal jadi sering berkata suka melihat anda memakai shawl. Barangkali dia risau juga jika terus memberitahu dengan jujur, akan timbul ayat seperti, “Oh, jadi yang hari tu pakai tudung bawal tu tak comellah ye???”. Bahaya juga keadaan itu. Boleh menjurus kepada muncung sangkut hanger hahaha….

Jadi, fahami hint yang diberikan. Tanyakan dengan jelas apa yang cuba diberitahu. Jika dia memberitahu berkali-kali maksudnya dia sukakan perkara itu, cuma tidak mahu melukai hati anda (yang rapuh haha). Jadi, jika dia suka anda memakai shawl, anda pula minah tudung bawal dan instant, cuba juga untuk melakukannya jika anda berkesempatan. Tidak rugi pun. Apa pun ini contoh sahaja. Mungkin dia suka masakan anda yang tertentu, cara anda melayan ibunya, perkara-perkara sebegitu….

OK, sekian Projek Memikat Suami Satu Dekad. Jumpa lagi ya 😉 .

2 thoughts on “Projek Memikat Suami Satu Dekad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge