Bila Anda Perlu Mulakan Bisnes Online

Assalam. Sewaktu saya memulakan bisnes online 3 tahun yang lepas, saya bermula dari kosong. Tidak ada sesiapa pun dari ahli keluarga saya yang menjalankan perniagaan. Saya sendiri tidak pernah terfikir saya akan mempunyai syarikat saya sendiri iaitu Thepartykru. Nama Thepartykru itu juga berasal dari kumpulan trio kegemaran saya iaitu KRU. The Party Crew sepatutnya. Memori zaman remaja 🙂 . Kali ini saya kongsikan tip Bila Anda Perlu Mulakan Bisnes Online, bagi mereka yang mungkin masih tercari-cari sebab memulakannya.

Kebebasan Kewangan

Anda perlu mula berniaga untuk mendapat kebebasan kewangan. Perniagaan yang paling mudah dimulakan adalah Bisnes Online kerana ia boleh dilakukan secara separuh masa, tanpa pejabat (dari rumah) dan juga diri anda sahaja sebagai pekerja. Saya mula terdetik untuk berniaga kerana tidak gemar menggunakan kad kredit atau berhutang. Kita harus mengakui peningkatan taraf hidup masa kini, sekali outing bersama keluarga, RM150 dan ke atas perlu disediakan untuk minyak kereta, makanan dan juga sedikit hiburan untuk anak-anak (buku, playground). Ini tidak termasuk kos keraian, sakit demam, percutian, hari raya, membeli barang persekolahan (buku, uniform), pakaian untuk anak-anak yang semakin membesar, medical card, insuran, daftar tadika di awal tahun dan 101 perkara lagi.

Jika orang lain gembira dan bangga menggunakan kad kredit, saya sebaliknya. Saya rasa begitu tersiksa menggunakannya. Kad kredit akan menjadi pilihan paling akhir saya. Itupun setelah berbelas-belas kali memikirkan kewajarannya. Saya terdetik, dengan berniaga sahaja, saya akan mendapat kebebasan kewangan yang saya inginkan. Saya juga menyayangi kerjaya saya, jadi bisnes online adalah pilihan yang terbaik kerana ia boleh diusahakan secara separuh masa, dan dari keselesaan rumah saya sendiri.

Bisnes online bukanlah mudah. Bila anda perlu mulakan bisnes online? Caranya, mulakan dengan sesuatu yang dekat dengan anda, modal yang rendah (tidak perlu berhutang, jika dengan keluarga OK) kerana anda perlu memahirkan diri dengan selok-belok perniagaan itu terlebih dahulu. Anda harus belajar sendiri bagaimana untuk berurusan dengan pelanggan yang tidak dapat melihat anda. Tidak perlu terpengaruh dengan pelbagai skim yang memerlukan modal yang begitu besar, menggalakkan anda berhutang (membuat pinjaman peribadi) jika anda mempunyai ilmu pengetahuan cetek tentang perniagaan. Pengalaman akan menjadi guru anda yang terbaik, percayalah. Keterbukaan dunia internet hari ini membolehkan anda mendapat pelbagai info secara percuma di peringkat awal.

Saya bermula dengan modal rendah untuk bisnes Candy Buffet lebih kurang RM400 sahaja seingat saya. Ia sebenarnya membuka lebih banyak ruang kepada saya. Kini, saya mempunyai beberapa bakul simpanan selain gaji bulanan saya melalui jualan ebook, sewaan set party, tempahan candy buffet dan chocolate fountain yang adakalanya terpaksa saya tolak dan bahagikan kepada pembeli-pembeli ebook saya yang lain. Ada banyak lagi bidang bisnes online yang tidak sempat saya terokai seperti affiliate kerana kesuntukan masa. Hasil yang saya perolehi memang tidak semewah perniagaan MLM yang lain, tetapi saya telah lama meninggalkan sepenuhnya kad kredit dan menuju ke arah kebebasan kewangan saya sendiri. Saya mengukur baju di badan sendiri dan bahagia dengan kehidupan saya kini. Saya dapat melakukan perkara yang saya gemari seperti menulis, membeli buku-buku dan menghadiri kursus yang saya inginkan. Ia mungkin nampak kecil bagi orang lain tetapi sangat signifikan untuk saya dan keluarga. Saya juga dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang perniagaan internet dengan berulang-alik dari Melaka ke Kuala Lumpur setiap bulan, dan dapat membawa keluarga bercuti mengikut kemampuan kami.

Saya biasa melihat pengurus bank, jurutera kanan, penasihat undang-undang korporat syarikat gergasi dan banyak lagi jawatan profesional berbisnes online. Ia adalah fakta bahawa semua orang memerlukan pendapatan sampingan pada zaman ini. Dan ingat, ia juga adalah sunnah untuk berniaga. Buat pilihan yang terbaik, jangan berhutang dengan bank, banyak belajar dan anda akan OK. Cabaran memang akan datang, tetapi ingat:

“A SMOOTH SEA NEVER MADE A SKILLFUL SAILOR”

 Bila Anda Perlu Mulakan Bisnes Online? Jawapannya ada pada diri anda sendiri  🙂  !

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge