Wira Tak Didendang

Assalamualaikum. Berjaya juga install Shareaholics di blog ini. Sedih betul katanya ada diploma perniagaan internet  tetapi install plugins pun tergagap-gagap ya. Sebenarnya saya memang lurus dan juga malas, apa yang diajar di kelas setakat itu sahajalah pengetahuan saya. Tetapi haruslah berusaha berdikari dari sekarang. Tadi terbaca pula satu perkongsian di sebuah blog tentang “mendapat pahala dari blog” (boleh KLIK SINI untuk membacanya). Mungkin ada orang yang akan membaca blog ini satu hari nanti, jadi apa salahnya meletakkan butang perkongsian Shareaholics di sini. Kalaulah ada maklumat di sini yang berguna untuk orang lain, suatu hari nanti. Kalau  🙂  .

Wira tak didendang ini sebenarnya merujuk kepada dilema ibu-ibu pada hari ini. Ibu yang berhenti kerja, atau mengorbankan seluruh masa depan kariernya, untuk menjadi suri rumah, sering didendang sebagai ibu yang hebat. Memang benar dan tidak ada yang tidak benar, melainkan benar belaka. Tidak semua ibu mempunyai kekuatan seperti itu. Ia adalah sangat mulia mengorbankan segala-galanya demi kesejahteraan keluarga. Begitu juga dengan ibu-ibu yang menyusui bayinya sendiri, dipandang tinggi dan mulia di sisi Islam sendiri. Saya mempunyai rakan baik yang menyusui sendiri kedua-dua anaknya sehingga berumur 2 tahun, dan perkara itu bukanlah mudah untuk dilakukan. Pengorbanan yang menuntut seluruh jiwa dan raga. Saya secara peribadi sangat mengagumi kedua-dua pengorbanan ini.

Apa yang nampak tidak begitu manis adalah golongan yang tidak dapat melakukan perkara ini dipandang pelik dan penuh dengan alasan. Tidak semuanya memandang begitu. Tetapi kebiasaannya, ada segelintir yang menjadi begitu agresif di laman sosial, dengan menghukum ibu-ibu yang bekerja dan juga tidak menyusui anaknya sendiri. Ditambah lagi dengan kes penderaan di taska, kekejaman pembantu rumah dan seumpamanya. Saya pernah terbaca komen di laman sosial tentang penyusuan bayi, seorang ibu memberikan komen, “Saya susukan anak sendiri, penat bersalin, anak saya anak manusia, bukan anak lembu!” . Saya sendiri pula merasa risau perkara yang begitu mulia seperti itu akan menimbulkan riak dan menjadi penghinaan pula kepada yang lain.

Saya memang tidak layak untuk bercakap tentang perkara ini. Saya cuma ingin memberitahu seorang ibu bekerja itu menangis di dalam hati berhari-hari sewaktu mula meninggalkan bayinya yang berusia 61 hari, untuk dijaga oleh orang lain (bertuah jika dapat saudara-mara menjaganya). Mereka merasa bersalah seumur hidup kerana terpaksa meninggalkan cinta hatinya untuk dijaga oleh orang lain. Berkorban perasaan kasih sendiri kerana mungkin kerjayanya diperlukan masyarakat dan dapat membantu ekonomi keluarga. Perlu menyediakan beberapa bekalan beg sehari, beg baju, beg sekolah, bakul susu dan adakalanya tertidur dalam keadaan separa pengsan setiap hari demi menyelesaikan urusan keluarga dan kelengkapan untuk penjaga atau sekolah pada esok hari. Masih juga perlu berjaga malam menjaga anak yang sakit. Berpanas terik menghadapi kesesakan lalulintas menghantar ambil anak dari penjaga atau sekolah setiap hari. Seorang ibu yang bekerja itu melakukan hampir semua tugas seorang suri rumah, tetapi dengan masa yang dipendekkan beberapa jam sahaja sehari. Semua ibu juga pasti ingin menyusui anaknya sendiri, mungkin dia mempunyai masalah kesihatan, atau tiada sokongan atau keadaan kerja yang tidak menentu. Kita tidak mengetahuinya.

Mereka tidak pernah minta didendang. Mereka melakukannya atas naluri yang sama, naluri seorang ibu.

Baru-baru ini saya sangat tersentuh mendengar kata-kata ini. Sejujurnya Nouman Ali Khan ini pun kali pertama saya mendengar namanya (tepuk dahi):

“When we do something for Allah then we don’t expect from people, we only expect from Allah. I get paid from Allah not from you.

Don’t underestimate the value of the things that you do, when Allah put Barakah in it, it will come beyond your expectations.”

-Nouman Ali Khan-

Biarlah Allah sahaja yang menilai pengorbanan kita di dunia ini. Siapalah kita untuk menghukum orang lain.

Jumpa lagi.

2 thoughts on “Wira Tak Didendang

  1. kadang kita diuji dengan apa yang kita cakapkan. meskipon diberikan rezeki banyak susu ibu, itu juga ujian buat ibu supaya ada empathy pada ibu yang tak dapat nak menyusukan.

    kene besederhana jangan sampai menyakitkan orang lain. setiap org lain ujiannya kan.
    farhah recently posted…Ubat Sakit Tonsil ShakleeMy Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge