Panduan Menjaga Anak Patah Tulang Tangan

Assalamualaikum. 20/8/2013 iaitu setahun yang lalu, anak sulung saya patah tulang tangan ketika menghadiri jamuan hari raya sekolah rendah agama. Saya menerima panggilan sewaktu balik dari kerja. Suami saya dengan ringkas menelefon dan berkata “Tangan Aiman patah. Nak ke hospital mana?” Itu adalah perjalanan paling jauh dalam hidup saya untuk tiba ke satu-satu destinasi. Baru-baru ini saya terbaca artikel di surat khabar tentang wad ortopedik yang penuh dengan kes patah kanak-kanak di musim cuti sekolah. Tergerak hati pula untuk berkongsikan Panduan Menjaga Anak Patah Tulang Tangan dengan mereka yang senasib dengan saya.

1. Terus dapatkan rawatan di hospital

Sewaktu anak saya patah tangan kerana terjatuh di monkey bar di tepi kantin sekolah, guru bertugas terus membalut tangan anak saya dengan pembaris. Beliau terus membawa anak saya ke klinik, dan klinik memberikan anduh. Ketika itulah, sekolah menelefon suami saya bertanyakan perlu ke hospital mana. Kami membuat keputusan untuk ke hospital swasta kerana mujur ada perlindungan insurans. Tindakan cepat dan teratur guru bertugas memang penting dalam kes sebegini. Terlewat sedikit, tangan anak saya berkemungkinan bengkok selama-lamanya dan mengalami kecederaan saraf yang mengakibatkan tangan mati atau gangrene. Anak saya tiba di hospital kurang dari masa 1 jam selepas kejadian, dan saya selama-lamanya akan berterima kasih kepada guru terbabit. Ingat, sekiranya anak anda jatuh, dan seperti menahan kesakitan yang teruk pada kaki atau tangan, terus bawa mereka ke hospital. Jangan mengurut apatah lagi membiarkan sahaja.

2. Percaya kepada doktor pakar yang merawat

Selesai di x-ray, kami dimaklumkan tangan Aiman mengalami keadaan patah terus, bukan retak, atau patah 1 tulang sahaja. Kedua-dua tulang yang selari patah tebu, mengikut istilah biasa. Cara yang disyorkan adalah dia akan dibius penuh keesokan harinya, dan menjalani pembedahan memasukkan  dawai stainless steel, untuk membetulkan kedudukan tulang. Kami terima ketentuan Allah dan berdoa yang terbaik untuk Aiman. Dia berpuasa pada malamnya, di samping menahan kesakitan yang mula menyucuk. Ibu bapa yang pernah melihat anak sakit, pasti memahami kesengsaraan hati yang kami alami. Tangan Aiman hanya dibalut dengan lapisan keras beserta anduh. Kedudukan tangan juga mesti sentiasa ditinggikan, agar tangan tidak terus membengkak.

panduan menjaga anak patah tulang tangan

3. Hari pembedahan

Pembedahan Aiman dilalui dengan baik. Dia mendapat dua kesan jahitan panjang di atas, dan di bawah lengan. Dua besi stainless steel dimasukkan ke lengannya, dengan hujungnya terkeluar membulat (satu hujung besi terkeluar di pangkal tulang jari, satu lagi di siku). Teknik ini biasa digunakan untuk kanak-kanak, kerana besi itu boleh ditarik keluar, tanpa perlu ada pembedahan lagi. Penggunaan besi ini telah diterangkan sepenuhnya oleh doktor. Ia digunakan untuk menarik kembali tulang dengan teknik tertentu agar ia kembali ke kedudukan yang sebenar. Ada juga kanak-kanak yang perlu disimen sahaja dengan menggunakan plaster of paris, ini biasanya bagi keadaan patah atau retak sedikit sahaja.

Panduan Penjagaan Anak Patah Tulang Tangan:

4. Penjagaan selepas pembedahan

Selesai pembedahan, doktor membuat satu acuan keras khas plaster of paris, untuk diletakkan di bahagian bawah tangan Aiman sahaja. Ia bukanlah seperti disimen sepenuhnya. Ia boleh dibuka dan dibalut menggunakan kain pembalut hospital. Luka mesti dicuci mengikut waktu yang ditetapkan, terutama pada bahagian besi yang terkeluar. Kami diajar cara mencuci luka dan membalut semula tangan. Ubatan seperti tahan sakit dan antibiotik turut diberikan. Saya bekerja dari rumah selama sebulan menjaga Aiman. Bersyukur mempunyai majikan yang begitu memahami. Semua peralatan mencuci luka yang lengkap boleh diperolehi dari farmasi. Syukur tiada jangkitan pada bahagian besi dan luka juga bertaut dengan baik.

5. Pemulihan

Aiman mendapat cuti selama 2 minggu, dan bersambung 2 minggu lagi. Saya memaklumkan pihak sekolah, dan berjumpa guru kelas. Peperiksaan akhir tahun akan tiba dalam masa 1 bulan sahaja, dan tangan yang patah adalah tangan kanan yang menulis pula. Saya sentiasa keep track dengan pembelajaran di sekolah dengan bantuan guru. Membuat latihan menulis di rumah. Tidak dilupa memasak makanan yang sesuai (tahan gatal kerana pembedahan). Dan juga menjadi guru homeschool. Tidak ada apa-apa yang tidak boleh dilakukan oleh seorang ibu untuk anaknya. Pada awalnya saya selalu menangis, tetapi bukan di hadapannya. Lama kelamaan, melihat ketawanya, saya sendiri tidak mempunyai alasan untuk bersedih. Aiman sentiasa jadi anak yang ceria dan tabah sejak kecil lagi.

Selepas 3 minggu, kedua-dua besi di tangan ditarik keluar oleh doktor. Selepas dikeluarkan, doktor memberikan armguard untuk dipakai. Tangannya tidak boleh terhentak lagi selepas itu atau besi akan dimasukkan sekali lagi. Selepas cuti 3 minggu dia mula bersekolah semula dengan armguard di tangan. Papa menghantar beg ke kelas setiap pagi, dan saya menunggu di luar kelas setiap hari selepas sekolah untuk tolong mengangkat beg sekolah yang berat. Rakan-rakan di sekolah menjerit gembira bila Aiman ke sekolah, dan membantu membelikan makanan sewaktu rehat. Adakalanya bila saya terlewat tiba, ada rakan yang tolong mengangkat beg turun dari kelasnya di Tingkat 2. Mengangkat beg memang tiada masalah untuk Aiman, tetapi pelajar-pelajar yang berpusu-pusu turun itu yang membahayakan. Dikhuatiri jatuh dan dihempap beg sendiri pula.

panduan menjaga anak patah tulang lengan

(armguard yang perlu dipakai selama 2 bulan. boleh dibuka dan dicuci)

Berhadapan dengan kes anak patah tulang tangan, mengajar saya pelbagai perkara. Ada yang minta saya menyaman sekolah. Ada yang mengatakan anak saya terlalu lasak, nakal hingga patah-patah tangan. Ada yang mengelakkan diri takut saya meminta bantuan mereka menjaga anak saya (kerana saya bekerja). Tetapi, saya fikir semua yang baik itu datangnya daripada Allah, dan yang buruk itu datangnya dari saya sendiri. Luka anak saya sembuh sepenuhnya dalam masa 3 bulan. Mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan akhir tahun. Kemudian, dapat pula meneruskan kelas taekwondonya yang terbengkalai selepas 6 bulan. Alhamdulillah, dia masih anak saya yang ceria, dan aktif sehingga ke hari ini.

Kepada ibu bapa yang menghadapi situasi seperti ini, stay strong. Tidak ada sesiapa yang meminta kejadian seperti ini berlaku. Anak anda memerlukan anda lebih dari segala-galanya. Tidak semua orang akan memahami kepayahan yang anda lalui. Tabahkan hati dan percaya pada qada’ dan qadar Allah. Hormati doktor dan jururawat yang banyak membantu. Kecederaan patah tulang yang dialami kanak-kanak sememangnya lebih mudah sembuh berbanding orang dewasa, dengan penjagaan yang teliti. Tidak ada gunanya menyalahkan orang lain dan sebaiknya fokus kepada proses penyembuhan sahaja. Terima kasih kepada dunia perubatan moden hari ini kerana segalanya menjadi begitu mudah. Tidak ada simen besar pada tangan lagi, sebaliknya semua boleh dipakai buka, dicuci dan selesa. Bil hospital juga dibayar sepenuhnya oleh syarikat insurans. Kebetulan juga, saya terjumpa artikel yang dibaca tempoh hari di suratkhabar, anda boleh KLIK SINI untuk membacanya.

Kepada anak saya Aiman, suatu hari nanti Aiman mungkin akan membaca cerita ini. Tidak pasti Mama ada lagi atau tidak pada masa itu, atau dapat mengingati cerita ini. Kalaulah Aiman berasa sedih, takut dan bersendirian, ingatlah bahawa kita pernah melalui saat-saat susah ini bersama. Kasih sayang Mama akan sentiasa bersama Aiman.

Setakat ini sahaja kali ini Panduan Menjaga Anak Patah Tulang Tangan. Jumpa lagi.

19 thoughts on “Panduan Menjaga Anak Patah Tulang Tangan

  1. Saya berada dalam situasi yg sama.. Anak saya damia akan dioperate esok.. Terima kasih atas perkongsian puan… Saya risau sangat…

  2. Fiza: Hai fiza. Saya pernah berada dalam situasi yang sama 2 kali. Saya faham sangat. Saya doakan damia cepat sembuh. Kasih sayang awak akan sembuhkan dia lebih cepat dari sepatutnya insya allah. Bila awak tabahkan hati dan kuat, dia pun akan jadi kuat. Stay strong ok.

  3. Asalam… boleh saya tahu kat mana nak beli arnguard nj…. anak saya pun patah tangan jugak…tq

  4. Wasalam. Saya dapatkan di Hospital Pantai sewaktu besi tangan ditarik-doktor berikan. Yang ini adalah saiz khas untuk kanak-kanak. Tapi encik boleh dapatkan di farmasi yang turut supply barang perubatan seperti katil, kerusi roda juga. Boleh tunjukkan gambar pada pharmacist supaya mereka dapat gambaran. Harap dapat membantu dan cepat sembuh ya.
    Dalin recently posted…because we are family…My Profile

  5. assalam puan..anak saya mengalami msalah yg sama..bru smggu cabut dawai tu..patah atas pada siku ckit..cuma nak tya brapa lama anak puan amik masa utk luruskan tgn balik..

  6. Salam puan,anak sy pun mengalami nasib yg sama,Tp anak sy perempuan,jatuh dr pokok.17hb11 buka simen&dawai,.Tp sy risau bole ka tangan anak sy kembali lurus?info dr doktor,smua ok.Tp anak rasa sakit bila mau kasi lurus.

  7. Idzuan: Wsalam. Dia memang ambil masa juga dan kanak-kanak pun takut sebab dah terbiasa pakai armguard tu. Doktor nasihatkan kami supaya perlahan-lahan beri keyakinan kepada dia untuk luruskan tangan semula. Jangan paksa tapi buat sedikit demi sedikit. Seingat saya dalam seminggu dua tangan dah kembali lurus tapi memang sangat penting untuk jaga jangan beri angkat benda berat atau terjatuh lagi. Selepas scan seterusnya bila tulang dah betul-betul bertaut semula baru boleh kembali lakukan aktiviti normal. Ini ambil masa lebih kurang 3 bulan juga.
    InsyaAllah mesti ok banyakkan berdoa.
    Dan kalau nak cuba boleh cuba bersedekah beri makanan kepada kucing jalanan atau sesiapa sahaja, niatkan untuk kesembuhan anak kita. Semoga cepat sembuh.
    Dalin recently posted…Tempat makan best di Johor Bahru (JB) Kacang Pool Haji-Part 1My Profile

  8. Terima kasih puan.. sye baru mengalaminya.. info sangat membantu.. blh puan share cara penjagaan dan pemakanan.. puan ada ambil apa ubat or vitamin lain ke selain apa yg di beri oleh doctor

  9. Norazela: Saya ada berikan minum susu juga. Bagus untuk pembentukan semula tulang. Dan ada satu doa di dalam Al-Quran untuk patah tulang juga nanti senang saya akan carikan.
    Vitamin kalsium untuk kanak-kanak mungkin puan boleh cuba.
    Saya ada beli jeli gamat Healing tu tapi tak sesuai dengan anak saya sebab kami ni ada resdung.
    Tq datang ke sini.
    Saya doakan anak puan cepat sembuh.
    dalin recently posted…Test #1 thing I remember about AyahMy Profile

  10. Pengalaman yg sama…info puan sgt berguna buat sy…cuma masalah skrg ni tgn anak bengkak dibahagian atas selepas besi ditarik keluar pd isnin lepas….harapnya tiada yg seriua coz nk refer doc utk tahu ape puncanya…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge