Tip Dekorasi Bilik Kanak-kanak Lelaki

Assalamualaikum. Masa berlalu dengan pantas, kini anak saya Aiman sudah hampir 10 tahun. Selain puasa dan solat diajarkan, tiba masanya untuk saya menyediakan bilik tidur yang berasingan untuknya. Sebenarnya sebelum ini, bilik memang sudah lama tersedia. Cuma, dia on off tinggal di situ, jadi saya telah letakkan barang-barang Thepartykru pula  🙂 . Bagi menggalakkan dia tidur di bilik sendiri, saya bercadang untuk deko biliknya serba ringkas. Kali ini, saya kongsikan Tip Dekorasi Bilik Kanak-kanak Lelaki di blog ini.

dekorasi bilik kanak-kanak lelaki

1. Gunakan cadar mudah dikemas

Kanak-kanak lelaki biasanya agak lasak dan banyak bergerak. Mereka juga gemar melakukan aktiviti seperti bermain, melompat-lompat ( bersenam  🙂  ), menonton televisyen atau bermain ipad di atas katil. Cadar jenis tahan kedut seperti patchwork memang menjadi pilihan saya selama ini. Anda boleh mengajar anak anda mengemas katilnya sendiri dengan mudah. Pilih warna yang sesuai seperti biru, coklat atau tanyakan sahaja kepada anak anda warna kegemarannya. Sediakan juga cadar gantian untuk ditukar selalu agar kebersihan terjaga.

2. Gunakan konsep perabot minimalis

Kanak-kanak lelaki biasanya lebih ringkas. Kurangkan dekorasi dan perabot di dalam bilik agar mereka selesa bermain. Anak saya misalnya, gemar menulis. Jadi, saya menyediakan satu meja tulis, papan kenyataan (untuk menampal nota-nota yang ditulisnya) dan sebuah whiteboard. Dia juga gemar mengumpul figurines, jadi saya sediakan satu meja khas untuk meletakkan koleksinya. Perabot asas seperti katil, meja belajar, almari buku, almari baju, bakul baju kotor, ampaian untuk sejadah dan tuala sudah mencukupi. Selain itu, mula ajar mereka untuk menyusun baju yang telah dilipat ke dalam almari, serta menghantar baju kotor untuk dicuci. Beri pujian jika dia berjaya mengemas biliknya sendiri. Anda boleh beli satu kalendar besar, dan tampal pelekat bintang pada hari biliknya dikemas dengan baik. Pelekat ini mudah didapati di kedai buku.

Tip Dekorasi Bilik Kanak-kanak Lelaki:

3. Sediakan lampu di sisi katil

Tidak boleh dinafikan peralihan untuk tidur di bilik sendiri ini agak menakutkan juga bagi kanak-kanak. Jadi, sediakan lampu sisi atau night lamp yang sesuai. Anda boleh menemankan mereka tidur  dahulu untuk permulaan. Kemudian, perlahan-lahan membiasakannya. Lampu sisi ini boleh didapati dalam pelbagai jenis di galeri perabot seperti IKEA dan pasaraya dengan harga mampu milik. Sokongan emosi di peringkat ini sangat penting. Kanak-kanak lelaki biasanya suka dianggap macho, jadi cuba katakan dia akan nampak macho juga kalau berani tinggal di bilik sendiri.

4. Jangan lupakan kotak mainannya

Kanak-kanak lelaki di usia 10 tahun juga, biasanya mula gemar bermain sendirian. Beri ruang privasi dan letakkan satu kotak mainan kegemaran mereka. Hadkan kerana jika berkotak-kotak, anda pula yang akan pening nanti. Mereka biasanya agak lambat matang, dan masih ada dunia khayalan sendiri. Beritahu juga kepada adik mereka, beri ruang kepada abang untuk bermain sendirian. Nanti si abang akan bermain juga dengan adik. Sekiranya banyak permainan, keluarkan kotak yang berasingan pada setiap minggu. Selain menjadi kejutan, ia juga akan mengelakkan mereka dari menjadi bosan, dan asyik bermain ipad pula nanti. Saya secara personalnya, lebih sukakan anak saya bermain permainan yang fizikal, berbanding gajet elektronik, meskipun ia akan bersepah. Anda juga boleh mengajak sepupu lelaki anak anda yang sebaya untuk bermalam di hujung minggu. Ini akan memberi pengalaman yang lebih menyeronokkan.

Menghias bilik kanak-kanak lelaki agak mudah kerana mereka biasanya lebih ringkas. Anda boleh mendapatkan hiasan bilik yang cantik dan sesuai di KaisonDaiso dan seumpamanya. Tidak perlu hiasan terlalu mahal kerana mereka cepat membesar dan mudah berubah minat. Cuma jadikan bilik mereka sebagai tempat persembunyian atau lepak mereka yang paling selesa. Room Sweet Room!

mama dan aiman

“Aiman, selamat tidur di bilik sendiri (1/11/14). Aiman anak yang baik. Mama sayang Aiman!”

Sekian Tip Dekorasi Bilik Kanak-kanak Lelaki! Jumpa lagi.

3 thoughts on “Tip Dekorasi Bilik Kanak-kanak Lelaki

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge