Petua Mudah Sembuhkan Demam dan Batuk Berkahak

Assalamualaikum. Rindu pula nak berbelog. Semalam tak dapat log in kerana masalah webhosting. Mujur juga sebab memang tak berapa sihat. Sejak menjejaki umur remaja purba begini, badan mudah juga dilanda demam manja dan batuk. Batuk pula susah sembuh biasanya. Kalau ke klinik, diri sendiri terasa teruk bagai demam 40′ Celcius, batuk bagai nak tercabut tekak, badan menggigil tunggu dipanggil, tetapi doktor beritahu tiada apa-apa masalah pula. Bayar bil wajib juga! Selepas beberapa kali begini, saya mempunyai tip sendiri untuk Petua Mudah Sembuhkan Demam dan Batuk Berkahak, di peringkat awal. Kebiasaannya, mengikut petua ini, demam dan batuk akan kebah dalam masa 3 hari sahaja.

1. Minum air kelapa asli

Setiap kali stres melanda, biasanya jika terlalu multitasking, saya mudah dilanda tanda-tanda awal demam. Tekak menjadi perit, kepala pula menjadi sakit. Cuba dapatkan air kelapa asli, tanpa ais, dan gula, hanya air dan isinya dan minum. Jangan pula dapatkan Coconut Shake di Klebang, Melaka. Boleh juga tetapi itu menambah demam namanya  🙂  . Teringat dulu semasa kecil, Mak akan jaramkan (basahkan) kepala anak-anaknya yang demam dengan air kelapa. Hasilnya demam akan kebah serta-merta. Memang rasa pelik dahulu jika dimandikan dengan air kelapa Atuk. Rasa macam mandi bunga pun ada  🙂 . Pokok kelapa kan pohon seribu guna. Cuba minum air kelapa asli, tanpa ais, dan gula ini. Saya kebiasaannya akan minum 3 hari berturut-turut, dan hangat badan akan dikeluarkan melalui peluh. Petanda ia berkesan adalah anda akan mula berpeluh-peluh laksana joging jadinya. Tidur juga akan menjadi lena walaupun anda demam. Batuk akan beransur surut secara perlahan-lahan. Tanpa ubat batuk, tanpa antibiotik. Cubalah, murah sahaja di Melaka kelapa muda berharga RM3.50 sebiji. Mudah pula didapati di gerai-gerai di tepi jalan.

Oh, ikon dunia internet jutawan Irfan Khairi pun suka minum air kelapa ya. Mungkin petua awet muda dan bijak juga  🙂  !

2. Tidur dan berehat secukupnya

Dahulu jika mula diserang tanda demam, batuk mula berkahak, saya akan terus berjumpa doktor. Kononnya tidak mahu masalah berpanjangan kerana takut menjangkiti ahli keluarga yang lain. Bila ke klinik bertemu doktor yang juga klien lama, dia akan terus bertanya, “Kenapa ni Diana, stres berkenaan apa ni?”. Pelik juga, saya demam mana dia tahu saya stres pula. Saya bercerita juga kerja kadangkala stres, anak exam di sekolah pun saya stres. Dia ketawa sahaja. Dia tahu bahawa kalau saya demam pasti disebabkan saya letih, stres, terkejar ke sana ke mari. Beliau menasihatkan saya untuk rehat secukupnya, kerja itu tidak akan habis walaupun saya tidak tidur 3 hari 3 malam, dan anak saya akan OK sahaja di sekolah. Betul juga. Jadi, sekiranya anda mula dilanda simptom demam, badan anda sebenarnya sedang memberitahu anda, SILA BEREHAT! Ambil masa untuk tidur secukupnya. Jika kerja terlalu menekan anda, ambil cuti. Tidur sebaiknya adalah sejurus selepas Isya’, mungkin 9 malam, dan bangun di awal pagi, untuk memulakan hari anda. Ini hasil bacaan saya di blog ikon dunia internet Tuan Adly Mukhtar. Ia menurut sunnah juga. Apapun ikut kesesuaian masa dan keluarga anda. Jika anda cukup berehat, sihat, keluarga anda juga akan merasakan kebahagiaannya.

3. Panadol ActiFast dan Vitamin 

Petua Mudah Sembuhkan Demam dan Batuk Berkahak seterusnya adalah, sentiasa beli dan simpan Panadol Actifast di dalam capaian anda. Saya biasa meletakkan sepapan di dalam beg tangan. Adakalanya, kita berjumpa orang-ramai, memandu lama, terdedah kepada udara, melawat saudara di hospital, jadi kita mudah dilanda penyakit. Tetapi jangan pula menjadikan kebiasaan untuk sentiasa memakan Panadol. Tetapkan satu tanda, jika sudah tidak tahan, barulah anda boleh mengambilnya mengikut dos yang diberikan. Sekiranya anda ke klinik pun, mereka akan memberikan ubatan yang hampir sama. Ia lebih kepada melegakan kesakitan anda buat sementara waktu. Di samping itu, amalkan juga vitamin seperti B, dan C dalam kehidupan seharian anda. Mencegah lebih baik dari mengubati. Kos perubatan hari ini bukannya murah. Lawatan biasa ke klinik juga berharga RM30 dan ke atas. Kita memang harus mengakui, perbezaan metabolisme dan imuniti badan adalah berkurangan seiring dengan pertambahan usia kita.

Kesimpulannya, badan kita sebenarnya diciptakan begitu sempurna untuk memberikan petanda bahawa kita akan sakit jika berterusan stres dan sibuk dengan pelbagai urusan harian. Ia mempunyai sistem antibodi sendiri untuk melawan anasir luar yang cuba menyerang. Beri ruang kepada tubuh anda untuk membina kerintangan sendiri terhadap anasir luar ini, dengan tidak memanjakannya. Walaubagaimanapun, petua ini adalah untuk petanda demam dan batuk di peringkat awal sahaja. Sekiranya berterusan dan begitu teruk, dapatkanlah bantuan pakar. Ia mungkin petanda denggi, atau penyakit TB pula. Sentiasa prihatin dengan diri anda. Petua ini saya amalkan berkali-kali dan mendapati ianya sesuai bagi saya, wanita berkeluarga dan bekerja  🙂  .

Sekian, Petua Mudah Sembuhkan Demam dan Batuk Berkahak. Semoga bermanfaat!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge