Bagaimana Atasi Perasaan Gemuruh

Hai. Semalam baru saya perasan, ada 1 atau 2 blogpost saya yang lepas telah tiada di blog ini. Salah satunya, Bagaimana Bangkit Dari Rasa Kecewa. Saya perasan kehilangannya bila melihat tarikh posting sebelum ini yang banyak kosong sedangkan saya menulis setiap hari, kecuali semalam (kerana masalah online). Tetapi, tidak mengapa. Barangkali terdelete post di kala demam. Hari ini saya akan kongsikan tip Bagaimana Atasi Perasaan Gemuruh cara saya pula.

Pada hari Rabu lepas, saya menyediakan satu Candy Buffet tempahan pelanggan. Sebenarnya, walaupun sudah berpuluh-puluh kali saya menyediakan Candy Buffet, saya masih dilanda perasaan gemuruh, atau cuak kata orang muda, pada setiap kali saya perlu melakukannya. Perasaan gemuruh ini akan membuatkan tangan dan kaki berasa seram sejuk, terasa ingin menyendiri, tidak yakin dengan diri sendiri dan akan menjadi terlalu stres. Perasaan ini biasanya hadir apabila pelanggan meletakkan harapan yang terlalu tinggi atas setiap tempahan yang diterima.

Sebenarnya, di dalam konteks kerjaya seharian saya juga, saya kadangkala gemuruh juga ingin berhadapan dengan pelanggan. Adakalanya, saya perlu berjumpa dan bermesyuarat bersama pengurus bank, pemaju, pegawai jabatan kerajaan dan juga klien berpangkat seperti doktor pakar dan sebagainya. Perasaan gemuruh itu memang akan sentiasa ada dalam diri seseorang. tetapi, bagaimana untuk hadapinya?

1. Bermula dengan perkara yang kecil

Bermulalah dengan sesuatu perkara yang kecil atau sederhana. Sebagai contoh, sebelum mengendalikan bufet di hotel, saya haruslah biasa malah telah berkali-kali menyediakan bufet di rumah dahulu. Di situ, saya akan dapat mengkaji kelebihan dan kelemahan perkhidmatan saya. Ia akan dapat diperbaiki dari masa ke semasa. Tiada orang yang terus menjadi pakar apabila mula melakukan sesuatu. Ia mesti dicuba, secara berperingkat, barulah anda akan dapat membiasakannya.

Untuk mengatasi gemuruh berjumpa klien juga, biasakan dahulu berjumpa klien untuk transaksi yang mudah, seperti saya bermula untuk perjanjian jual beli, sewa, sebelum beralih ke bidang yang lebih spesifik seperti kes mahkamah. Dari situ anda dapat mengagak, apakah soalan yang biasa diajukan, dan bagaimana pula cara terbaik untuk anda menjawabnya. Bina pengalaman terlebih dahulu, andaikata ia pahit sedikit pun, percayalah ia akan dapat mematangkan anda  🙂  .

2. Fikirkan yang baik-baik sahaja

Saya pernah menonton filem, hero dalam filem itu membayangkan tetamu ceramahnya sebagai kanak-kanak tadika sahaja. Manakala dalam filem Maid in Manhattan, ahli politik dalam filem itu pula, menyimpan satu klip kertas di dalam saku, dan meletakkan seluruh ketakutannya pada klip itu setiap kali dia perlu berucap di depan khalayak. Secara ringkasnya, Bagaimana Atasi Perasaan Gemuruh, apa yang kita fikirkan, itulah hasil yang akan dikeluarkan. Jutawan internet Irfan Khairi dalam salah satu siri video youtubenya, menyatakan bahawa kita sering takut kepada perkara-perkara yang belum berlaku. Takut gagal, takut diketawakan, takut tersungkur, padahal ia tidak berlaku lagi. Pemikiran itulah yang akan menghalang kita dari melakukan yang terbaik.

Saya sendiri suka memikirkan perkara yang buruk-buruk sahaja. Rasa rendah diri yang menebal kadangkala perlu dihindarkan. Satu tip mudah dari saya, jika perlu berjumpa orang berpangkat seperti pengurus bank yang tidak dikenali contohnya, cuba bayangkan sisi lain orang itu. Dia mungkin nampak tegas kerana kerjayanya, dan mengejar masa. Fikirkan sisi lain dia mungkin seorang bapa, seorang kawan baik kepada seseorang. Pasti ada sesuatu ciri kemesraan pada seseorang itu, meskipun rupanya tidak tersenyum langsung. Cuba lihat sekeliling bilik pejabatnya, jika terlihat gambar isteri, keluarga, dia pastinya seorang yang lembut hati. Terus nyatakan tujuan kedatangan anda, fokus pada perbincangan dan hargai masanya. Perbincangan akan selesai juga akhirnya.

3. Keyakinan

Saya teringat kepada satu kata-kata motivasi Irfan Khairi, “Jika tidak yakin, buat-buat macam yakin!”. Memang benar. Keyakinan diri adalah sangat penting dalam diri seseorang. Anda boleh mendapatkan keyakinan ini dengan melihatkan rekod prestasi lampau anda (lihat yang baik-baik sahaja ya!), bertanya pada mereka yang anda kasihi ( mereka yang sentiasa menyokong anda atau bias 🙂  ), bersedia lebih awal dan teliti dalam semua perkara serta rajin membaca kata-kata motivasi. Apa yang penting, letakkan fokus yang tinggi sewaktu menyelesaikan setiap tugasan anda. Amalkan juga konsep “redah sahaja”, asalkan persiapan rapi telah dibuat. Saya pernah menyediakan bufet ketika baru mengetahui bapa saudara saya meninggal dunia kerana kemalangan (pelanggan tidak pernah tahu mengenainya), dan membuat bufet di kala baker saya membatalkan tempahan kek di saat akhir (cari baker lain serta-merta), serta di kala saya sedang demam panas. Tetapi, apabila tiba di tempat bufet tersebut, saya hanya perlu fokus dan menyelesaikan tugasan saya, meninggalkan semua perkara yang membelenggu fikiran saya.

Bagaimana atasi perasaan gemuruh

Mengatasi gemuruh adalah perkara yang akan kita lakukan setiap hari. Kita akan belajar secara perlahan mengatasinya. Semua orang bermula dengan tiada apa-apa. Anda juga boleh begitu.

Sekian, tip Bagaimana Atasi Perasaan Gemuruh versi saya 🙂 !

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge