Misi Mencari Jodoh

Assalamualaikum.

Kali ini saya menulis dari Putrajaya, rumah adik bongsu saya, Wan. Wan bekerja di sini dan baru berpindah rumah. Dia belum lagi berkahwin, jadi Emak risau, dan kami pun membuat rombongan ‘Cik Kiah’ ke sana. Sebenarnya, kami pun tak tahu apa yang patut dirisaukan, kerana Wan sudah biasa tinggal di asrama sejak Tingkatan 1, belajar di Universiti Malaysia Sabah dan terus bekerja di sana, kemudian baru dapat bekerja di Putrajaya sejak beberapa tahun yang lepas. Hati seorang ibu, sekecil-kecil benda pun akan dirisaukan. Makankah dia, selesakah rumahnya, ada beras ke di dapurnya?  🙂  .

Sebenarnya, Wan anak Mak yang paling disayangi, kerana dia yang paling bongsu. Sejak kecil, Wan memang mewarnai hidup kami sekeluarga. Dia paling nakal, lasak juga (tapi tidak boleh melawan Abang Zam), paling banyak ‘akal’, dan juga pandai. Banyak juga cerita pahit-manis dengan Wan ini. Disukai, dimarah, dinasihat, saya rasa itulah asam garam dalam hidup berkeluarga. Setiap orang pun mempunyai cerita sendiri. Apa yang paling saya ingat tentang Wan adalah, dia seorang yang pemaaf. Walau bagaimana teruk dimarah Ayah pun, dia boleh duduk di sebelah Ayah selepas itu, dan bercerita seperti biasa. Saya? Saya akan muncung seharian menjeruk rasa. Saya Ayah panggil anak bongsu juga, anak bongsu perempuan Ayah  😉  .

Wan masih belum bertemu jodoh di usia 28 tahun. Melangkah masuk ke rumahnya, kami terkejut juga. Semua peralatan rumah sudah agak lengkap, barangkali ingin elak kutukan kami juga. Kami berkata, “Wan, dah boleh kahwin ni!”. Adat mempunyai adik-beradik ramai, kutuk-mengutuk, bahan-membahan sudah menjadi lumrah. Kadang-kadang kecil hati dan terasa juga, tetapi kemudian kembali bergelak ketawa. Sejak semalam, kami adik-beradik berbual tidak berhenti mengenang memori sewaktu membesar dan juga kerisauan Mak yang satu, Wan belum bertemu jodoh!

Saya berkenalan dengan suami saya melalui aturan kawan. Dia menelefon saya walaupun tidak pernah mengenali saya. Kali pertama menelefon di kampung, dia berjaya membuat saya ketawa. Adik ipar saya juga baru-baru ini saya kenalkan dengan guru tadika anak saya. Cikgu Ima baik dan pandai memujuk Adik sewaktu nangis-nangis tidak mahu ke sekolah awal tahun dahulu. Dari situ saya melihat sifat sabarnya. Suatu hati, adik ipar tolong menjemput Adik di tadika, dan dia terlihat Cikgu Ima. Hari-hari pula ingin tolong ambilkan anak saya. Saya terus minta nombor telefon Cikgu Ima. Hingga kini, mereka berkawan.

Saya bercadang ingin carikan jodoh untuk Wan. Wan dan adik ipar saya sebaya, 28 tahun. Kedua-dua Mak dan ibu mertua pun sudah risau ingin langsungkan perkahwinan mereka. Masalahnya, tidak pasti Wan ini sudah berpunya atau belum. Perahsia juga  🙂  .

Semoga Adik saya dapat mencari suri di hatinya. Saya juga ada misi sekarang. Misi mencari jodoh untuk Wan  😉  .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge