Hari Baju Kurung Sedunia

Hai.

Sebenarnya tidak wujud Hari Baju Kurung Sedunia. Istilah ini saya reka sendiri. Ada hari yang saya rasa saya memang selesa berbaju kurung sahaja. Ia selesa, mudah digosok, malar segar, manis. Mak selalu katakan, “Pakai baju kurung sahaja Ana, baju kurung boleh pakai lama”. Betul juga. Zaman muda-mudi dahulu ada juga teringin menempah baju raya berfesyen-fesyen. Tapi, itu jawapan Mak.

Bagus juga ada baju kurung lama. Kalau rasa terlebih makan sekarang, cuba semula baju kurung lama. Baru tahu langit tinggi rendah. Pergi jogging serta-merta  😉  .

Banyak juga kenangan berbaju kurung. Dahulu di universiti, saya dan 3 sahabat baik, Normah, Laila, Abun sama-sama datang dari kampung. Jadi, kami memang selalu berbaju kurung. Lihat sahaja kawan-kawan dari Kuala Lumpur memakai pakaian berfesyen-fesyen. Dahulu, popular baju kurung bunga-bunga kecil, pakai pula dengan tudung bawal. Tudung bawal disepit kemas di bahagian bawah. Sandal dan beg kain beli di Vincci. Dengan baju kurung itulah, kami turun naik bas, bergelak ketawa, membina memori, putus cinta monyet pun ada  🙂  . Memori sungguh. Tetapi, baju kurung tidak pula membataskan persahabatan kami dengan geng budak KL. Semuanya sama sahaja apabila berkawan.

Baju kurung biasanya jadi pilihan bila saya memerlukan keselesaan. Ia setia, tak banyak karenah dan memahami saya yang mengantuk, tiada mood, malas. Jadi, seperti hari ini, saya isytiharkannya, “Hari Baju Kurung Sedunia”  🙂  .

Oh saya juga ada lagi satu istilah iaitu Tudung Kebangsaan. Tudung kebangsaan ini tudung bawal berwarna hitam. Siap digosok, dipin, digantung dan berkhidmat. Jika perlu ke mana-mana segera, tiba-tiba kawan ajak ke kafe contohnya, terus sambar dan siap. Semua kawan saya ada tudung kebangsaan masing-masing. Normah dengan tudung satin gambar burung, pakai secara ikatan mak itik (riben besar di leher), Laila pula dengan tudung bawal renda lebar sejengkal, dan Abun tetap tiptop dengan tudung bawal putihnya. Kakak Normah tinggal di Kota Bharu, jadi kami selalu paksa dan dera Normah belikan tudung bawal cantik-cantik dari sana. Sulaman cantik dan kain bawalnya juga tebal. Oh sekarang saya tiada lagi tudung kebangsaan bawal hitam, tetapi diganti dengan tudung  awning  hitam pula. Lebih cepat dan mudah. Semua yang mudah dan cepat memang jadi pilihan saya.

Saya memang seorang yang ringkas. Baju kurung adalah cerminan saya. Rindu pula dengan kawan-kawan saya sewaktu menaip di sini.

Manisnya kenangan masa lalu.

Sehingga sekarang saya masih setia berbaju kurung, tidak pada setiap hari, tetapi pada hari yang baju kurung itu perlu memahami saya 🙂 .

Terima kasih baju kurung yang setia!

Nota kaki: Tidak dapat dipastikan apakah motif penulisan kali  ini  🙂  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge