Kisah Kerja Saya

Assalamualaikum,

Ingat tak dulu saya pernah menulis, setiap pekerjaan itu biasanya memberikan manfaat kepada orang lain. Ada harinya, anda akan bersyukur diletakkan di tempat itu, walau bagaimana stressnya pekerjaan anda. Saya seorang peguam hartanah, jadi berhadapan dengan pelanggan sudah menjadi lumrah. Tetapi, hakikatnya saya seorang yang pemalu 😉  . Dengan muka yang serius, tanggapan pertama orang biasanya itulah… saya serius orangnya. Tetapi, itu tandanya anda tidak mengenali saya.

Saya boleh menerima apa sahaja percakapan orang, tetapi, jangan melulu tidak menerima nasihat saya berkenaan bidang saya. Jika sudah diterangkan berkali-kali, masih mahu berkata, “saya bertanya kepada A, katanya begini. Dia beli rumah, murah sahaja kos peguam”. Minta penjelasan tetapi tidak mahu mendengar penjelasan. Marah-marah pula. Di situ, anda akan melihat bakat saya yang terpendam, Diana yang sinikal. Cuba mengugut saya? Ingin bertukar peguam? Saya dengan senyuman manis akan menjawab, “Ya, saya tidak boleh memaksa!“. Kebanyakannya akan tersentak, mungkin berharap saya merayu dan berkata, “Janganlah begini Encik, semua dokumen telah disediakan. Kos sekian-sekian telah dikeluarkan…. “. Maaflah itu bukan saya.

Sebenarnya, dalam menentukan kos guaman hartanah, semua bil kami dipantau oleh Majlis Peguam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri. Dokumentasi Surat Perjanjian Jual Beli dan Pinjaman misalnya, memerlukan kepakaran kerani yang menguruskan dan peguam yang memantau kes itu. Terlewat menyempurnakan dokumen, pembeli akan dikenakan faedah oleh Penjual (pemaju atau individu). Manakala, dokumentasi pinjaman secara Islam pula, dikenakan kos tambahan berbanding konvensional kerana terdapat tambahan dokumen seperti Suratcara Hibah, Perjanjian Jualan, Perjanjian Belian dan sebagainya. Jadi, apabila membandingkan antara bil guaman rumah harga RM300,000 pinjaman konvensional, dengan bil guaman rumah harga sama tetapi dibiaya secara Islam, tentulah akan menunjukkan sedikit harga yang berbeza. Ooh, ada juga yang quote bil rumah kawan yang dibeli dari pemaju, yang mana pemaju menyerap semua kos guaman perjanjian jual beli. Saya bekerja dengan fakta dan bukti, jadi bila berkata, “kawan saya beli rumah begini, bilnya RM2000 sahaja”, saya akan tanya mana “Oh, boleh saya lihat bilnya?”. Semuanya senyap sahaja selepas itu.

Sebenarnya, peguam pun manusia juga. Membeli rumah, membuat pembiayaan. Bercakap manislah dengan peguam, kerana menurut kisah kami yang boleh dibuat buku ini, transaksi pelanggan yang tidak pernah mendatangkan masalah, akan selesai dengan begitu pantas. Ia licin dan dipermudahkan. Bertanya itu sangat digalakkan, tetapi mestilah bersedia mendengar jawapannya juga. Tidak bersetuju tidak mengapa, boleh meminta pendapat dari yang lain. Kami juga manusia biasa. Minta dengan baik jika memerlukan bantuan, atau maklumkan jika ada sebarang masalah kewangan. Ingat, kami juga manusia yang ada hati dan perasaan. Dan, ada masalah juga.

Ada klien yang menjadi rakan atau loyal clients. Semua urusan terkemudian kami uruskan. Terharu juga apabila ada yang mengucapkan terima kasih, menghantar kek, ayam goreng, donat (ya, saya suka makan  🙂 ) selepas berjaya membeli rumah yang pertama.  Kami (satu pejabat) tahu kami dihargai. Saya pernah dipeluk seorang Makcik di mahkamah kerana dia lepas dari menjadi bankrap. Pernah menguruskan kes anak angkat (Chinese), anak kecil itu kini menjadi buah hati di pejabat dan bila datang pula, dia akan memanggil saya “Kakak, kakak”  (bila lagi nak feeling muda kan  😉 ).

Saya pun tidak pasti berapa lama lagi saya akan bergelar peguam. Banyak kisah pahit-manis yang telah saya lalui selama 1 1  tahun ini. Rasa letih pun ada juga.

Ok, jumpa lagi ya. Bye

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge