Ulasan Buku Diagnosis

Assalamualaikum. Baru-baru ini saya berkesempatan membaca Diagnosis, satu kompilasi cerita 3 orang doktor di hospital. Ulasan buku Diagnosis terbitan Dubook Press ini, adalah ulasan dari pembaca marhaen seperti saya, yang bukan doktor. Sebenarnya, pernah juga bercita-cita menjadi doktor, tetapi rasanya darah sastera lebih menguasai diri 🙂 . Saya menyambung pengajian dalam bidang undang-undang, walaupun belajar dalam bidang sains tulen di MRSM. Ayah berkata, belajarlah dalam bidang Sains Tulen, dan dunia ini akan terbuka lebih luas untuk saya. Jika ingin jadi peguam pun, tiada masalah. Akhirnya, selepas menolak tawaran matrikulasi sains di UPM, saya meneruskan minat saya. Jadi, serba-sedikit, saya tahu pahit-getir belajar Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik Tambahan 🙂 .

“Setiap DIAgnosis itu hakikatnya datang dari DIA. Doktor hanya perantara” -Diagnosis

Membaca buku Diagnosis, bermakna anda berada di hospital, bersama watak dalam cerita itu. Anda berada di bilik doktor, di tengah malam, di bilik kecemasan, hingga ke pagi, hingga keesokan harinya. Buku ini menyelami kisah suka-duka para doktor yang mengenepikan soal hati sendiri, insan yang tersayang, membakar diri, demi menerangi insan lain. Adakalanya, doktor juga perlu dirawat oleh doktor lain, bab ini memang membuka mata, kerana saya pun sering tertanya-tanya, bagaimana jika doktor sakit? Nak jumpa siapa ya?

Pelbagai isu dikupas secara ringan namun berkesan oleh penulisnya. Isu denggi, pesakit berlakon minta MC (yang ini kelakar), mengandung luar nikah, diceritakan dari perspektif seorang doktor.  Betapa seorang doktor perlu menilai tanpa syarat, tidak mengira latar belakang, atau maki-hamun yang diterima. Malah, ada doktor yang menerima saman, setelah merawat pesakitnya. Apapun, itulah cabaran yang harus ditelan oleh seorang doktor.

“Bila kita rasa kurang bermotivasi dan perlukan inspirasi, kita lihat pada orang-orang kaya dan ternama di dunia, bukan kita lihat dan belajar daripada mereka yang sudah dijanjikan Syurga olehNya di sana” – Diagnosis

Kisah Pakcik yang memakai susuk dan perlu membuat MRI atau Magnetic Reasonance Imaging juga menjentik jiwa. Ia lucu menunjukkan doktor juga manusia biasa, yang mempunyai tahap kesabaran, dan humor juga. Anda perlu membacanya 🙂 .

Ada juga kisah cinta Doktor Faizal dan Doktor Ezza. Ia romantik kerana dalam kesibukan, mereka bercinta berlandaskan Islam. Rupa-rupanya doktor pun seperti kita ya, jatuh cinta pandang pertama, malu-malu, gugup ingin meluahkan perasaan 🙂 . Saya fikir kerjaya doktor mudah sahaja mencari jodoh, kerana sudah ada title doktor di hadapan, rupanya kisahnya sama sahaja seperti kita. Perlu approval  bapa mertua juga.

Kisah Doktor Ayesha yang menjaga suaminya Doktor Jayyid yang sakit kritikal sewaktu bercuti di Sydney juga menjentik rasa. Di negara bukan Islam, beliau tetap menjaga solat suaminya. Beliau digelar bidadari dunia oleh suaminya. Meskipun kedua-duanya doktor, tetapi apabila DIA memilih untuk menguji kita dengan kesakitan dan dugaan, doktor juga tidak akan terkecuali.

Selain itu, persoalan hangat berkenaan isu doktor lelaki atau perempuan, muslim atau tidak, yang menyambut kelahiran bayi ibu muslimah juga dikupas dengan kemas di sini, dari perspektif seorang doktor. Seringkali, orang yang tidak berada dalam sesuatu profesion itu mudah menuding jari dan menilai. Ia tidaklah menyatakan benar atau salah sesuatu perspektif, tetapi menyuruh kita menilai sesuatu, atau mungkin bertanya kepada mereka yang berada di dalam bidang itu, sebelum membuat sebarang kesimpulan.

Kisah Encik Kareem yang mempunyai time-bomb di kepalanya, jangkamasa 1 minggu sahaja untuk hidup, meruntun hati. Ada insan terpilih yang mengetahui jangkaan waktu kematiannya, meninggalkan mereka yang dikasihi, agak memilukan, serta menunjukkan kebesaran Allah S.W.T kepada kita. Adakah kita juga akan mengetahui jangkaan masa kita akan pergi meninggalkan dunia ini?

“..Sampaikan salam abang dan terima kasih kepada Dr. Umar juga ya. Dia dihantar untuk memberi perkhabaran awal untuk abang lebih bersedia menempuh ini semua. Jaga diri sayang. Jumpa sayang dan anak-anak kita di syurga nanti” – Diagnosis

Ulasan buku Diagnosis, cerita dari bilik kecemasan:

“Time of death..five forty six a.m”. Suasana sepi.

Aku menghembus nafas panjang.

“That’s the easy part, now the difficult part is to tell his wife”.

Membaca Diagnosis, membuatkan saya sangat berterima kepada para doktor yang membantu saya dan keluarga di sepanjang kehidupan saya. Sewaktu bapa saya terkena serangan jantung pada bulan Mac 2014, ketika saya sedang bergelut menyiapkan ebook, saya menangis di wad kecemasan Hospital Alor Gajah, Melaka apabila Ayah telah pun berwasiat kepada Abang Zam, agar menjaga Mak dan kami semua sekiranya dia pergi dahulu. Saya merasakan seluruh kekuatan, kepandaian, kemegahan saya terbang dan hilang sewaktu mendengarnya. Saya memandang Doktor yang merawat bapa saya sebagai seseorang yang dihantar untuk membantu saya melaluinya. Mujurlah keadaan ayah tidak terlalu serius, namun masih semakin uzur dari hari ke hari, seperti ibu saya. Begitu juga, terima kasih kepada doktor yang merawat sewaktu ibu saya diserang stroke 10 tahun yang lalu. Ibu saya dapat pula menunaikan ibadah haji selepas itu. Terasa begitu mulianya kerjaya seorang doktor, menjadi perantara, meskipun adakalanya dihina dan diperlekeh masyarakat.

Pengalaman membaca Diagnosis, cara penceritaannya mengingatkan saya kepada satu karya Azizi Haji Abdullah, Seorang Tua di Kaki Gunung, yang begitu terperinci, yang membuatkan kita terasa seperti berada di dunianya. Karya Seorang Tua di Kaki Gunung merupakan bacaan saya sewaktu membesar, pernah didramakan, malah saya mungkin telah membacanya pada setiap kali cuti sekolah. Karya-karya seperti ini, begitu dekat di hati saya, memberikan pengajaran, dan barangkali membentuk gaya penulisan saya yang lebih ke arah penceritaan. Sesiapa yang pernah membaca karya tersebut, pasti akan memahami nilai sentimental dan penceritaannya yang begitu halus dan berseni. Saya tidak pasti di mana buku itu berada sekarang, alangkah bagus jika boleh mendapatkan buku-buku saya semula. Kadang-kadang, yang lama akan mengajar kita memahami diri kita sekarang.

Saya memang baru sahaja memulakan hobi saya membeli dan membaca buku semula, malah kali pertama beli melalui MPH ONLINE (pantas, diskaun belian kali pertama dan ada ulasan buku, menarik!). Untuk buku Diagnosis, saya memberikan 4 dari 5 bintang, atas garapan penceritaan yang menarik, unsur lucu yang boleh menarik perhatian pembaca, gaya yang sedikit indie (menarik muda-mudi) dan nilai-nilai murni kedoktoran yang dipelajari di dalamnya. Saya mendapat tahu tentang buku ini dari blog honeykoyuki, blogger popular Doktor Fatin Liyana Asri, yang begitu manis, bijak, berpendirian dan wajar menjadi ikon muslimah remaja. Blogging dan blogwalking pernah menjadi sebahagian dari hidup saya, saya gembira saya telah membuka lembarannya semula 🙂 .

Tahniah kepada Dubook Press atas karya yang sangat bermutu ini. Saya menantikan Diagnosis 2, Doktor Fatin Liyana Asri  juga bakal menulis di dalamnya.

DOKTOR SEGALA DOKTOR ADALAH TUHAN KITA, ALLAH AZZAWAJALLA. – Diagnosis

Sekian ulasan buku Diagnosis saya pagi  ini. Salam Jumaat 🙂 .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge