Saya Anak Kampung!

Assalamualaikum.

Baru-baru ini saya berkesempatan membawa Mak pulang ke kampung, menghadiri majlis perkahwinan anak buah dan anak kepada jiran lama. Jarak di antara rumah Mak dan kampung tidaklah begitu jauh, hanya 20 minit perjalanan menaiki kereta. Cuma batasan masa dan kesihatan, tambahan pula Mak tidak pandai memandu, membuatkan yang dekat menjadi jauh.

Langkah Mak juga tak selaju dahulu. Adakala terhenti dek kerana lelah. Waktu sampai di kampung, mak berkata:

“Maafkan Mak Ana, Ana pula kena pimpin Mak!” Hati saya menjadi sayu.

Banyak sungguh yang telah berubah. Kalau dahulu Mak memimpin saya, kini saya yang memimpin Mak, orang yang paling saya kasihi di dunia ini.

Rumah pusaka arwah Atuk yang saya diami sedari kecil kami lintasi. Saya dilahirkan di rumah itu, dan tinggal di sana sehingga Ayah membina rumah dan kami berpindah ketika saya di Darjah 3. Mujurlah Pak Busu mewarisi setelah Atuk tiada dan rumah masih terjaga rapi. Tangga Melaka tempat saya adik-beradik melompat turun masih utuh di situ, bezanya yang melompat kini cuma tinggal anak-anak saya dan sepupu-sepupunya sahaja,  di Hari Raya.

Perjalanan diteruskan ke darat ke rumah kawan Mak yang dianggap seperti saudara sendiri, saya memanggilnya Busu Safar. Kalau dulu jalan ke darat (bahagian berbukit) hanya melalui denai sahaja, telah ada jalan berturap sekarang. Di kanan saya, terbayang batas sawah yang dahulu saya lalui untuk pergi mengaji serta perigi jernih yang selalu jadi pilihan arwah Nenek untuk mencuci bajunya sahaja (saya dan Abang Zam akan dibawa sekali). Kini, perigi telah dikambus dan sawah bertukar menjadi belukar.

Di sebelah kiri, hutan kecil tempat Abang Long saya menyorok jika nak dirotan Ayah masih ada. Kronologinya, jika nak dirotan, Abang Long akan melompat turun 7 anak tangga Melaka dan terus menyorok di dalam hutan hingga senja. Begitulah garangnya Ayah saya, semua anak-anak pun takut hehe.

Sampai di rumah Busu Safar, Mak berjumpa dengan semua saudara, rakan lama, bercerita panjang dan adakalanya hingga menitiskan air mata. Saya pula dapat berjumpa Kak Noor anak sulung Busu Safar yang tidak saya temui sejak saya berpindah rumah 25 tahun yang lalu. Kak Noor adalah ketua geng mengaji di mana setiap hari kami melintasi sawah, pergi mengaji di rumah Nek Jariah, balik beramai-ramai, bila balik akan singgah di rumah makcik-makcik sepanjang jalan makan buah koko, mangga, rambutan dan meluncur di bukit berumput ‘carpet’ (dulu tiada roller coaster!). Saya masih kenali wajah Kak Noor bila berjumpanya. Sewaktu memeluk Kak Noor, saya masih rasakan kasih sayang yang sama dan ikatan persahabatan yang telah lama hilang.

Betul, banyak sungguh yang berubah.

Banyak yang tiada dari ada.

Atuk sudah tiada. Nenek sudah lama pergi.

Denai yang lama masih ada, masih boleh dilalui, tetapi orangnya sudah tiada.

Hutan masih ada, di mana kami selalu dimomokkan cerita hantu raya oleh Mak, untuk menakutkan Abang Long jangan menyorok di sana (tapi saya rasa hantu raya memang ada, sebab Abang Zam kata dia pernah jumpa 🙂 )

Saya bangga saya dilahirkan, dibesarkan di kampung. Saya bangga saya pernah bermain lumpur sawah dan memanjat pokok rambutan. Saya gembira dibesarkan dengan Atuk yang mengajar saya menyayangi haiwan. Saya rasa sambutan Hari Raya paling meriah adalah sewaktu saya kecil. Abang Zam membuat pelita panjut dan meriam buluh (mujur tidak hilang jari!), dan saya merasa makan dodol panas-panas yang baru keluar dari kuali.

Saya gembira berbasikal keliling kampung sampai hitam. Mak saya panggil saya Si Hitam waktu kecil 🙂 .

“Saya bangga kerana kampung dan rumah atuk mengajar saya untuk menyayangi tanpa syarat, bahawa kebahagiaan itu bukanlah diukur dari betapa besarnya rumah atau kereta, atau berapa jumlah duit yang ada”

“Sama ada denai itu merindui kami (geng mengaji dan anak-anak Cikgu Ali), atau kami yang masih merindui denai itu?”